Wednesday, 20 January 2016

Lambakan Program Realiti: Apakah Hala Tuju Anak Muda Kita?

Ketika menonton televisyen di rumah, ada satu iklan ni agak menarik perhatian saya iaitu iklan rancangan realiti Amerika, American Idol. Apa yang menarik perhatian saya bukanlah rancangan tersebut akan tetapi frasa 'Farewell Season' di hujung iklan. Ini bermakna rancangan ini sudah sampai ke musim terakhir pada tahun ini.

Bila difikirkan kembali, rancangan realiti terbesar Amerika telah sampai ke penghujungnya dan tidak akan dianjurkan lagi selepas ini. Persoalannya, bilakah negara Muslim seperti Malaysia mahu menghentikan rancangan-rancangan sebegini di negara kita? Kalau tidak dihentikan pun kurangkanlah rancangan-rancangan sebegini. Saya ingin menegaskan pendirian saya mengenai hiburan bahawa peratusan hiburan dalam kehidupan seorang Muslim hanyalah 10 peratus sahaja. Tapi dengan keghairahan penganjur-penganjur menganjurkan program-program sebegini seolah-olah menjadikan hiburan itu 90 peratus pula. Bila terjadinya kerosakan terhadap peserta-peserta program ini, penganjur mula berdolak-dalih dan tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap program yang mereka sendiri anjurkan dan hebohkan.

Masih ingatkah kita kepada tragedi sekumpulan anak muda mati akibat pengambilan dadah di sebuah konsert hiburan di ibu negara?

Yang menjadi kehairanan saya lagi ialah ada juga ibubapa yang menyokong anak-anak mereka menyertai program-program sebegini. Malahan berbangga apabila melihat anak-anak mereka terkinja-kinja di atas pentas melakukan persembahan tanpa rasa malu. Duhai ibu ayah sekalian, inikah cita-cita yang ingin anda lihat dicapai oleh anda? Beginikah anda mencorakkan akhlak anak-anak anda?

Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibubapanya jualah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi,Nasrani atau Majusi.

Program-program sebegini juga kebanyakannya melanggar etika-etika hiburan dalam Islam. Antaranya pendedahan aurat,pergaulan bebas antara bukan mahram,menarik perhatian ajnabi dan pelbagai lagi. Bukankah itu sudah melampaui batas-batas kita sebagai seorang Muslim? Ingat, berhibur tanpa batasan hanya akan membawa kepada kehancuran.

Seorang ulama melihat begitu ramai anak muda terikut-ikut dengan budaya berpakaian Barat di Andalusia. Ulama itu lalu mengatakan "Jika keadaan ini berlarutan, maka akan lenyaplah kerajaan Islam di rantau ini". Beberapa ratus tahun selepas itu jangkaan ulama itu menjadi kenyataan apabila jatuhnya kerajaan Islam Andalusia kepada penguasa Kristian Sepanyol.

Kesimpulannya, hiburan yang melampau-lampau tidak membawa begitu banyak faedah sebaliknya hanyalah sebuah agenda Barat bagi memusnahkan akhlak anak-anak muda kita. Saya akhiri entri kali ini dengan seungkap kata untuk direnungi " Jika hendak meramal masa depan sesebuah negara,lihatlah pada anak muda di negara tersebut"