Friday, 20 November 2015

Bahaya Fanatik Mazhab

Dipetik dari buku 'Kisah Hidup Imam Asy-Syafie'

Fanatik menurut Kamus Dewan bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian. Fanatik Mazhab bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu mazhab. Sikap fanatik ini tidak disukai oleh para ulama. Maka, kita dituntut supaya bersikap toleransi dan bersederhana dalam pendirian. Pernah Imam Al-Syafie berkata, "Jika kalian menjumpai dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkan pendapatku." Oleh yang demikian, setiap orang yang mengikuti Mazhab Al-Syafie dinasihatkan agar tidak bersikap fanatik sampai menyebabkan perkara-perkara berikut:

1. Menolak suatu hadis Sahih yang bertentangan dengan Mazhab Al-Syafie. Namun, sebelum mengamalkan hadis sahih itu, adalah penting merujuk kepada ahli-ahli fiqh (fuqaha') dan hadis (muhaddits) terlebih dahulu.

2. Muktamad berpendirian bahawa hanya Mazhab Al-Syafie sahaja yang benar, adapun mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali) semuanya salah dan tidak betul.

3. Mereka-reka hadis palsu bagi membela Mazhab Al-Syafie.

4. Bertengkar atau berperang dengan mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali).

5. Mempermainkan dalil seperti mengubah redaksi nas demi mempertahankan Mazhab Al-Syafie.

Menurut Sheikh Ibn al-Qayyim, bentuk-bentuk taklid yang diharamkan ialah:

1. Berpaling dari apa yang telah diturunkan oleh Allah, tanpa meneliti kembali kerana merasa cukup dengan taklid kepada nenek-moyang.

2. Taklid kepada orang yang tidak diketahui kredibiliti keahliannya.

3. Taklid sesudah tertegaknya hujah dan telah jelas dalil-dalil yang menyalahi pendapat orang yang diikuti.

Selanjutnya kata Sheikh Ibnu al-Qayyim,"Sesungguhnya Allah SWT mencela orang-orang yang berpaling dari apa yang diturunkan oleh Allah kemudian bertaklid (mengikuti) apa yang dilakukan oleh nenek-moyangnya tanpa didasari ilmu pengetahuan. Taklid seperti ini yang diharamkan dan dicela oleh para ulama dan Imam mujtahid yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad). Adapun bertaklid kepada orang yang mengerahkan segala upaya untuk mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah, di mana dia tidak mengetahui sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah, kemudian dia bertaklid kepada orang yang lebih mengetahuinya, maka jenis taklid ini dipuji dan tak dicela, diberi pahala dan tak diseksa." Kata Ustaz Umar Muhammad Noor, "Perbezaan adalah sebuah kenyataan". Kesimpulannya, bersederhanalah dalam kehidupan bermazhab. Semoga sikap toleransi sesama umat Islam dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan mewujudkan umat Islam yang bersatu-padu dalam menentang musuh-musuh Islam. Wallahu a'lam.

Bibliografi: 1. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim. 2. Argumentasi Ulama Syafi'iyah karya Ustaz Haji Mujiburrahman. 3. Blog Ustaz Umar Muhammad Noor

Friday, 13 November 2015

Hebatnya Palestina

   6-0,memalukan,layu,rebah... Itulah kebanyakan ayat yang terpampang di dada-dada akhbar hari ini. Kejadian seperti ini bukan sekali dua berlaku. Tapi dah berlarutan sejak sekian lama. Meskipun begitu, aku gembira sekiranya saudara-saudaraku di Palestina sana gembira penuh riang.

Mereka berhak merasai kegembiraan itu. Mereka berhak merasai kemenangan itu. Tahniah kepada mereka.

   Sungguh, aku memang gembira apabila mereka gembira. Namun beberapa hal mengenai kehebatan Palestina masih membuatku terpinga-pinga. Bagaimana mereka dalam keadaan bergolak menderita mampu menewaskan pasukan kita yang bebas selesa. Bukan nak kata bolasepak, dari aspek-aspek yang lain juga Palestina jauh lebih hebat dari kita yang dah lama merdeka ni.

Mereka tiada padang yang cantik. Mahupun stadium yang besar. Tapi mereka tahu segalanya tidak mustahil berbekalkan semangat waja.

   Anak-anak di Malaysia bermain riang gembira. Anak-anak Palestina bermain penuh ancaman bahaya. Namun itu tidak membuatkan mereka berputus asa. Mereka percaya dengan janji yang Maha Esa. Aku tidak gembira andainya mereka yang diberikan amanah mengkhianati amanah. Aku tidak gembira andainya yang berada di atas terus-menerus merompak dan menindas. Hebatnya Palestina. Berbekalkan batu dan pisau serta keyakinan yang jitu, mereka mampu menggerunkan musuh berpistol berpeluru. Kelibat yang secara tiba-tiba muncul dari kelabunya asap bedilan musuh. Manakala anak Malaysia pula, terus berasap menghisap racun di sini di sana. Ketika nyawa menjadi berharga di Palestina, ia semakin mudah dibeli dibazir di bumi Malaya.

Maksiat di depan mata dibiarkan, orang beribadat di depan mata dicaci,dicemuh dan dimaki. Andainya hal ini berterusan, masih adakah rahmat Tuhan?

   Hebatnya Palestina. Ketika anak-anak kita dibiar lalai bermain gajet,anak-anak di sana gigih menghafal dan mengaji kalam Tuhan. Jangan bangga dengan kemerdekaan seandainya minda masih dijajah anasir kebinatangan. Jangan bangga dengan keamanan seandainya tidak mampu menjaga kehormatan. Jangan bangga dengan keharmonian seandainya anak watan terus dihimpit seksa kejahilan.

Hebatnya Palestina pasti tercatat dalam sejarah alam fana. Jangan berbangga dengan nama Malaysia seandainya tiada usaha direncana. Kelak sampai ke matilah kita hanya mampu mencanang,

Hebatnya Palestina...

  

  
  

Wednesday, 11 November 2015

Jerebu: Hilangnya Pemandangan Indah

   Langit terus-menerus dikaburi kabus. Kalau kabus semulajadi macam dekat UK takpe. Ini adalah kabus hasil perbuatan keji para perosak bumi. Bila disebut perosak bumi, tak perlulah kita nak tuding siapa-siapa sedangkan kita dalam sedar tak sedar juga adalah seorang perosak bumi. Kuala Lumpur, bandar yang cukup aku sayangi sudah ditelan asap hasil penyalahgunaan api.

   Dalam sedar tak sedar, berapa banyakkah sampah yang kita buang di tepi jalan,di dalam longkang,di balik semak samun dalam masa sehari? Bila berlakunya jerebu, pantas kita menuding negara jiran dalam masalah ini. Ewah, yang kau dok hisap rokok,bakar sampah tu apa? Memanglah tak berjerebu tapi asapnya beracun pak. Bila berlakunya banjir kilat, pantas kita mencemuh pihak perbandaran kerana gagal mengatasi masalah yang berlaku. Apa kau lupa semalam kau buang paket snek kau dalam longkang?

   Kini, sesalan berada di mana-mana. Tenggelamnya Kuala Lumpur dimakan asap, kita harus bertopeng lekap sukar bernafas bercakap. Anak-anak kecil yang tidak tahu-menahu apa-apa terus menjadi mangsa kesilapan dan kecuaian orang dewasa sekelilingnya. Disoalnya kepada si bapa, "Ayah, bilakah semua ini akan berakhir?Ke manakah pergi segala gambar yang indah?", si ayah terdiam seribu bahasa tidak mengerti keluhan sang anak. Sebenarnya wujud juga persoalan di hati ayah, kalau begini keadaannya sekarang, bagaimana anakku hendak hidup membesar mencapai cita-cita.

   Alhamdulillah syukur pada yang Esa. DiturunkanNya hujan rahmat membasahi bumi. Maka hilanglah kabus jadian di angkasaraya Kuala Lumpur. Bukan Tuhan tidak sayang, tapi manusia kadangkala harus diberi peringatan agar tidak hilangnya pemandangan indah bumi ciptaanNya.

Wednesday, 4 November 2015

Bagai Bangkai Bernyawa

Bangkai... Apabila terlantarnya mayat si mati. Terbiar luput tanpa semadi. Terbiar busuk menusuk hidung yang hidup. Selagi tidak dimandi,ditanam dan disemadi maka teruslah ia mencemar bumi.

Adapun bangkai yang hidup, tidak berbau tetapi wangi. Tidak mereput tetapi hidup bergerak jari-jemari. Tidak terlantar tetapi gagah berani. Namun sikapnya sama sahaja seperti yang mati. Terus-menerus mencemar dan merosak bumi.

Apakah suratan semua ini?Itulah tandanya hati yang mati. Hidup di  luar tetapi di dalam reput layu membusuk.

Apabila matinya hati, maka matilah seluruh jasad ini. Walau hidup jasad tetapi mati hati, ia tak ubah sepertimana bangkai yang mati. Menganggu persekitaran,mencemar alam,merosak bumi.

Apabila matinya hati, maka terjadilah apa yang kita lihat pada hari ini. Manusia dibunuh sana sini. Binatang disiksa kejam sekali. Alam dicemari peluru besi. Dek kerakusan nafsu insani.

Hati ini milik empunya diri. Dijaga rapi kian berseri. Dibiar mati kian membasi. Jagalah hati. Supaya tidak menyesal di kemudian hari. Jangan pula merosak,menyakiti hati manusia lain.

Kelak apabila manusia menyakiti hatimu, engkau pun bertanya "Adakah kalian tidak mempunyai hati?". Walhal engkaulah pemilik hati yang mati. Tak ubah seperti bangkai yang mati...