Bangkai... Apabila terlantarnya mayat si mati. Terbiar luput tanpa semadi. Terbiar busuk menusuk hidung yang hidup. Selagi tidak dimandi,ditanam dan disemadi maka teruslah ia mencemar bumi.
Adapun bangkai yang hidup, tidak berbau tetapi wangi. Tidak mereput tetapi hidup bergerak jari-jemari. Tidak terlantar tetapi gagah berani. Namun sikapnya sama sahaja seperti yang mati. Terus-menerus mencemar dan merosak bumi.
Apakah suratan semua ini?Itulah tandanya hati yang mati. Hidup di luar tetapi di dalam reput layu membusuk.
Apabila matinya hati, maka matilah seluruh jasad ini. Walau hidup jasad tetapi mati hati, ia tak ubah sepertimana bangkai yang mati. Menganggu persekitaran,mencemar alam,merosak bumi.
Apabila matinya hati, maka terjadilah apa yang kita lihat pada hari ini. Manusia dibunuh sana sini. Binatang disiksa kejam sekali. Alam dicemari peluru besi. Dek kerakusan nafsu insani.
Hati ini milik empunya diri. Dijaga rapi kian berseri. Dibiar mati kian membasi. Jagalah hati. Supaya tidak menyesal di kemudian hari. Jangan pula merosak,menyakiti hati manusia lain.
Kelak apabila manusia menyakiti hatimu, engkau pun bertanya "Adakah kalian tidak mempunyai hati?". Walhal engkaulah pemilik hati yang mati. Tak ubah seperti bangkai yang mati...
No comments:
Post a Comment