Friday, 20 November 2015

Bahaya Fanatik Mazhab

Dipetik dari buku 'Kisah Hidup Imam Asy-Syafie'

Fanatik menurut Kamus Dewan bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian. Fanatik Mazhab bermaksud orang yang keterlaluan pada sesuatu mazhab. Sikap fanatik ini tidak disukai oleh para ulama. Maka, kita dituntut supaya bersikap toleransi dan bersederhana dalam pendirian. Pernah Imam Al-Syafie berkata, "Jika kalian menjumpai dalam kitabku sesuatu yang menyalahi sunnah, maka ambillah sunnah itu dan tinggalkan pendapatku." Oleh yang demikian, setiap orang yang mengikuti Mazhab Al-Syafie dinasihatkan agar tidak bersikap fanatik sampai menyebabkan perkara-perkara berikut:

1. Menolak suatu hadis Sahih yang bertentangan dengan Mazhab Al-Syafie. Namun, sebelum mengamalkan hadis sahih itu, adalah penting merujuk kepada ahli-ahli fiqh (fuqaha') dan hadis (muhaddits) terlebih dahulu.

2. Muktamad berpendirian bahawa hanya Mazhab Al-Syafie sahaja yang benar, adapun mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali) semuanya salah dan tidak betul.

3. Mereka-reka hadis palsu bagi membela Mazhab Al-Syafie.

4. Bertengkar atau berperang dengan mazhab selain Al-Syafie (Hanafi, Maliki, Hanbali).

5. Mempermainkan dalil seperti mengubah redaksi nas demi mempertahankan Mazhab Al-Syafie.

Menurut Sheikh Ibn al-Qayyim, bentuk-bentuk taklid yang diharamkan ialah:

1. Berpaling dari apa yang telah diturunkan oleh Allah, tanpa meneliti kembali kerana merasa cukup dengan taklid kepada nenek-moyang.

2. Taklid kepada orang yang tidak diketahui kredibiliti keahliannya.

3. Taklid sesudah tertegaknya hujah dan telah jelas dalil-dalil yang menyalahi pendapat orang yang diikuti.

Selanjutnya kata Sheikh Ibnu al-Qayyim,"Sesungguhnya Allah SWT mencela orang-orang yang berpaling dari apa yang diturunkan oleh Allah kemudian bertaklid (mengikuti) apa yang dilakukan oleh nenek-moyangnya tanpa didasari ilmu pengetahuan. Taklid seperti ini yang diharamkan dan dicela oleh para ulama dan Imam mujtahid yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad). Adapun bertaklid kepada orang yang mengerahkan segala upaya untuk mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah, di mana dia tidak mengetahui sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah, kemudian dia bertaklid kepada orang yang lebih mengetahuinya, maka jenis taklid ini dipuji dan tak dicela, diberi pahala dan tak diseksa." Kata Ustaz Umar Muhammad Noor, "Perbezaan adalah sebuah kenyataan". Kesimpulannya, bersederhanalah dalam kehidupan bermazhab. Semoga sikap toleransi sesama umat Islam dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan mewujudkan umat Islam yang bersatu-padu dalam menentang musuh-musuh Islam. Wallahu a'lam.

Bibliografi: 1. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim. 2. Argumentasi Ulama Syafi'iyah karya Ustaz Haji Mujiburrahman. 3. Blog Ustaz Umar Muhammad Noor

No comments:

Post a Comment