Friday, 13 November 2015

Hebatnya Palestina

   6-0,memalukan,layu,rebah... Itulah kebanyakan ayat yang terpampang di dada-dada akhbar hari ini. Kejadian seperti ini bukan sekali dua berlaku. Tapi dah berlarutan sejak sekian lama. Meskipun begitu, aku gembira sekiranya saudara-saudaraku di Palestina sana gembira penuh riang.

Mereka berhak merasai kegembiraan itu. Mereka berhak merasai kemenangan itu. Tahniah kepada mereka.

   Sungguh, aku memang gembira apabila mereka gembira. Namun beberapa hal mengenai kehebatan Palestina masih membuatku terpinga-pinga. Bagaimana mereka dalam keadaan bergolak menderita mampu menewaskan pasukan kita yang bebas selesa. Bukan nak kata bolasepak, dari aspek-aspek yang lain juga Palestina jauh lebih hebat dari kita yang dah lama merdeka ni.

Mereka tiada padang yang cantik. Mahupun stadium yang besar. Tapi mereka tahu segalanya tidak mustahil berbekalkan semangat waja.

   Anak-anak di Malaysia bermain riang gembira. Anak-anak Palestina bermain penuh ancaman bahaya. Namun itu tidak membuatkan mereka berputus asa. Mereka percaya dengan janji yang Maha Esa. Aku tidak gembira andainya mereka yang diberikan amanah mengkhianati amanah. Aku tidak gembira andainya yang berada di atas terus-menerus merompak dan menindas. Hebatnya Palestina. Berbekalkan batu dan pisau serta keyakinan yang jitu, mereka mampu menggerunkan musuh berpistol berpeluru. Kelibat yang secara tiba-tiba muncul dari kelabunya asap bedilan musuh. Manakala anak Malaysia pula, terus berasap menghisap racun di sini di sana. Ketika nyawa menjadi berharga di Palestina, ia semakin mudah dibeli dibazir di bumi Malaya.

Maksiat di depan mata dibiarkan, orang beribadat di depan mata dicaci,dicemuh dan dimaki. Andainya hal ini berterusan, masih adakah rahmat Tuhan?

   Hebatnya Palestina. Ketika anak-anak kita dibiar lalai bermain gajet,anak-anak di sana gigih menghafal dan mengaji kalam Tuhan. Jangan bangga dengan kemerdekaan seandainya minda masih dijajah anasir kebinatangan. Jangan bangga dengan keamanan seandainya tidak mampu menjaga kehormatan. Jangan bangga dengan keharmonian seandainya anak watan terus dihimpit seksa kejahilan.

Hebatnya Palestina pasti tercatat dalam sejarah alam fana. Jangan berbangga dengan nama Malaysia seandainya tiada usaha direncana. Kelak sampai ke matilah kita hanya mampu mencanang,

Hebatnya Palestina...

  

  
  

No comments:

Post a Comment